expr:class='"loading" + data:blog.mobileClass'>

Khamis, 2 Ogos 2012

KISAH 5 PERKARA ANEH


Abu Laits as-Samarqandi adalah seorang ahli fiqh yang masyur. Suatu ketika dia pernah berkata, ayahku menceritakan bahawa antara Nabi-nabi yang bukan Rasul ada menerima wahyu dalam bentuk mimpi dan ada yang hanya mendengar suara. Maka salah seorang Nabi yang menerima wahyu melalui mimpi itu, pada suatu malam bermimpi diperintahkan yang berbunyi, "Esok engkau dikehendaki keluar dari rumah pada waktu pagi menghala ke barat. Engkau dikehendaki berbuat, pertama; apa yang engkau lihat (hadapi) maka makanlah, kedua; engkau sembunyikan, ketiga; engkau terimalah, keempat; jangan engkau putuskan harapan, yang kelima; larilah engkau daripadanya."

Maka, pada keesokan harinya, Nabi itu pun keluar dari rumahnya menuju ke barat. Perkara yang pertama dihadapinya ialah sebuah bukit besar berwarna hitam. Nabi itu kebingungan sambil berkata, "Aku diperintahkan memakan pertama aku hadapi, tapi sungguh aneh sesuatu yang mustahil yang tidak dapat dilaksanakan."

Bagi memenuhi perintah yang diterimanya dari mimpi, maka Nabi itu terus berjalan menuju ke bukit itu dengan hasrat untuk memakannya. Sedang dia menghampiri bukit itu, tiba-tiba bukit itu mengecilkan diri sehingga menjadi sebesar buku roti. Maka Nabi itu pun mengambilnya dan dimakannya. Bila ditelan terasa sungguh manis bagaikan madu. Dia pun mengucapkan syukur 'Alhamdulillah'.

Kemudian Nabi itu meneruskan perjalanannya lalu bertemu pula dengan sebuah mangkuk emas. Dia teringat akan arahan mimpinya supaya disembunyikan, lantas Nabi itu pun menggali sebuah lubang lalu ditanamkan mangkuk emas itu, kemudian ditinggalkannya. Tiba-tiba mangkuk emas itu terkeluar semula. Nabi itu pun menanamkannya semula sehingga tiga kali berturut-turut. Maka berkatalah Nabi itu, "Aku telah melaksanakan perintahmu." Lalu dia pun meneruskan perjalanannya tanpa disedari oleh Nabi itu yang mangkuk emas itu terkeluar semula dari tempat ia ditanam.

Maka, nabi tiu pun meneruskan lagi perjalannya. Dalam perjalannya, dia ternampak seekor helang sedang mengejar seekor burung kecil. Kemudian terdengarlah burung kecil itu berkata, "Wahai Nabi Allah, tolonglah aku." Mendengar rayuan burung itu, hatinya merasa simpati lalu dia pun mengambil burung itu dan dimasukkan ke dalam bajunya, seiring dengan ingatannya terhadap pesanan yang ketiga, yakni ‘terimalah’. Melihatkan keadaan itu, lantas burung helang itu pun datang menghampiri Nabi itu sambil berkata, "Wahai Nabi Allah, aku sangat lapar dan aku mengejar burung itu sejak pagi tadi. Oleh itu janganlah engkau patahkan harapanku dari rezekiku." Nabi itu teringatkan pesanan arahan dalam mimpinya yang keempat, iaitu tidak boleh putuskan harapan. Dia menjadi kebingungan untuk menyelesaikan perkara itu. Akhirnya dia membuat keputusan untuk mengambil pedangnya lalu memotong sedikit daging pehanya dan diberikan kepada helang itu. Setelah mendapat daging itu, helang pun terbang dan burung kecil tadi dilepaskan dari dalam bajunya.

Selepas kejadian itu, Nabi meneruskan perjalannya dan dia bertemu pula dengan satu bangkai yang amat busuk baunya, maka dia pun bergegas lari dari situ kerana tidak tahan menghidu bau yang menyakitkan hidungnya. Setelah menemui kelima-lima peristiwa itu, maka kembalilah Nabi ke rumahnya. Pada malam itu, Nabi pun berdoa. Dalam doanya dia berkata, "Ya Allah, aku telah pun melaksanakan perintah-Mu sebagaimana yang diberitahu di dalam mimpiku, maka jelaskanlah kepadaku erti semuanya ini."

Dalam mimpinya, beliau telah diberitahu oleh Allah s.w.t. bahawa, "Yang pertama engkau makan itu ialah marah. Pada mulanya nampak besar seperti bukit tetapi pada akhirnya jika bersabar dan dapat mengawal serta menahannya, maka marah itu pun akan menjadi lebih manis daripada madu.

Kedua semua amal kebaikan (budi), walaupun disembunyikan, maka ia tetap akan nampak jua.

Ketiga jika sudah menerima amanah seseorang, maka janganlah kamu khianat kepadanya.                 

Keempat jika orang meminta kepadamu, maka usahakanlah untuknya demi membantu kepadanya meskipun kau sendiri berhajat.                                                                                                                                                                                  

Kelima bau yang busuk itu ialah ghibah (menceritakan hal seseorang). Maka larilah dari orang-orang yang sedang duduk berkumpul membuat ghibah."

Iktibar yang dapat dikongsikan dari kisah ini ialah, betapa kita sebagai manusia, seharusnya sentiasa berwaspada dalam melakukan sesuatu perkara. Untuk itu, amat penting untuk kita berfikir secara rasional, positif, redha, dan bertimbang rasa kerana sesungguhnya, kita sebagai manusia saling memerlukan antara satu sama lain dan adalah bersaudara.

Gunakan tenaga yang diberi oleh Allah untuk membantu dan menggembirakan orang lain, kerana kita tidak tahu entah bila masanya kita akan menghadapi ujian dari Allah, jangan pula kita memperkatakan tentang seseorang itu, kerana ia boleh mendatangkan fitnah, dan kawal lah nafsu amarah kita, kerana fikiran dalam keadaan marah menjurus kepada perbuatan yang negatif dan diiringi hasutan syaitan. Sesungguhnya, kita tidak lari dari melakukan kesilapan, namun, Allah S.W.T. telah memberikan kita akal untuk berfikir, agama sebagai panduan, dan hati dan perasaan sebagai insan yang bertimbang rasa. Jadi, kesilapan itu boleh diperbaiki dan dielakkan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan